8 Risiko Penyakit Batu Karang Pada Lelaki


1. Batu karang merupakan salah satu penyakit yang biasa ditemui. Ia boleh berlaku pada nisbah setiap seorang daripada 10 orang. Risiko untuk mendapat batu karang adalah 5-10% & kemungkinan seorang hingga 2 orang setiap 1,000 orang dalam populasi.

2. Kejadian batu karang kerap berlaku pada usia 30-50 tahun. Rata-rata pesakit batu karang adalah di kalangan lelaki. Berdasarkan kajian, penyakit batu karang sememangnya lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita. Nisbah sebanyak 3 orang lelaki bagi setiap seorang wanita mempunyai masalah batu karang.
3. Masalah batu karang lebih cenderung menyerang lelaki atas beberapa faktor terutamanya gaya hidup mereka. Gaya hidup lelaki yang membuatkan mereka lebih mudah obes dan gaya pemakanan yang tidak seimbang merupakan puncanya.
4. Lelaki boleh dikatakan kurang mengambil air kosong seperti yang disarankan setiap hari lalu menyebabkan penghidratan. Malah mereka juga kurang melakukan senaman bagi mengekalkan gaya hidup sihat.
5. Saluran urin lelaki yang kompleks berbanding wanita juga dikatakan antara punca kecenderungan tersebut. Gaya hidup perlu diubah ke arah yang lebih sihat tanpa mengira jantina.
6. Namun, kebelakangan ini bilangan wanita menghidap masalah ini turut bertambah disebabkan pemakanan mereka.
7. Risiko lain antaranya sejarah keluarga yang menghidap masalah sama, hipertensi, gout, lumpuh, penyahidratan, masalah metabolisme, kekurangan sitrat pada urin & cuaca panas.
8. Pekerjaan yang kurang melibatkan pergerakan seperti kerja yang duduk di pejabat atau individu yang jarang bersenam atau lama terlantar lebih berisiko tinggi. Ini kerana aktiviti fizikal yang terhad menyebabkan tulang mengeluarkan lebih kalsium ke dalam darah.
Jika kita benar-benar menyayangi diri kita dan amanah tubuh badan yang diberikan, pastikan pencegahan diambil awal dan bukan menunggu rawatan.
Sumber


Lelaki & Perubahan Diri Pada Usia 40


Lingkungan usia 40 hingga 60 tahun kerap dikaitkan dengan krisis pertengahan usia. Walaupun mungkin ada memandangnya dari sudut negatif, ia sebenarnya sebahagian proses kematangan normal.

Semua orang akan melalui detik perubahan emosi dalam hidup. Namun, bagaimana anda menangani perubahan itu yang akan mempengaruhi hidup? Ada lelaki berjaya mengharunginya dengan baik.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bagi sesetengah lelaki, krisis pertengahan usia sangat merumitkan hingga membawa kepada tekanan perasaan atau mungkin perceraian.

Jika wanita mengalami putus haid, lelaki pula kerap tersepit dalam permasalahan pada usia pertengahan. Ada penyelidik melihatnya sebagai andropaus, namun sebenarnya lebih pada keupayaan seseorang lelaki itu menangani masalah yang dihadapinya.

Perkara paling asas ialah menjaga pemakanan dan bersenam, selain berada dalam persekitaran positif. Lelaki dengan emosi tidak stabil mula berfikiran negatif.

Dia membandingkan kejayaan dirinya dengan rakan, sekali gus memberi tekanan dan mula berasakan kehidupannya akan berakhir tanpa sebarang pencapaian.

Perubahan hormon

Keadaan ini diburukkan lagi dengan perubahan hormon yang mempengaruhi bukan saja fizikal tetapi keinginan seksual dan dihimpit permasalahan peribadi dengan pasangan. Hormon testosteron bukan saja mempengaruhi keinginan seksual, tetapi apabila parasnya menurun ia juga menjejaskan pemikiran dan tubuh badan.

Krisis pertengahan umur dalam kalangan lelaki juga boleh dilihat pada perubahan fisiologi. Menghampiri usia 40 tahun, hormon testosteron menyebabkan perubahan fizikal yang boleh dilihat. Antaranya jika dulu tegap tetapi sekarang sudah gemuk dan buncit.

Fungsi seksual juga berkurangan, sekali gus mempengaruhi sosiologi. Perubahan biologi dilalui oleh semua lelaki dan wanita tetapi perubahan itu tidak sama.

Hal ini berkait dengan isu paling asas, menjaga pemakanan dan mengawal berat badan dan berada dalam suasana persekitaran yang kondusif. Ada kala tekanan perasaan pada pekerjaan ditambah dengan masalah kesihatan akan menyebabkan lelaki hilang kawalan dalam hidupnya.

Ada juga lelaki yang berkeinginan memulakan hubungan baru kerana melihat kehidupan sosialnya semakin stabil dan anak-anak juga sudah meningkat dewasa.

Lelaki yang berdepan dengan krisis pertengahan umur kerap tidak menyedari masalah sebenar. Isteri atau ahli keluarga rapat boleh membantunya. Perubahan sikap dan mood boleh memberi petunjuk masalah sebenar dialami.

Jika dikaitkan dengan masalah andropaus, perlu dirujuk kepada doktor. Mengambil terapi gantian hormon antara rawatan yang ditawarkan perubatan moden. Namun, keupayaan mengawal diri, bersenam dan menjaga kesihatan adalah antara langkah paling asas dan utama.

Simptom krisis pertengahan usia
·        Berasa tidak bahagia dengan hidup atau gaya hidup.

·        Bosan dengan mereka yang berada di sekelilingnya dan bidang yang dulu menarik minatnya.

·        Mempersoalkan pilihan yang tidak dibuat dalam hidup dan mengapa mereka tidak memilih sebaliknya.

·        Marah pada pasangan dan rasa terikat dengannya.

·        Tidak berupaya membuat keputusan hala tuju hidup mereka.

·        Keinginan menjalin perhubungan baru (Ramai lelaki usia ini menyalah tafsirkan keinginan ini dengan mula mencari alasan berkahwin dengan anak dara. Lebih parah jika memilih anak dara seusia anak sulungnya atau perbezaan umur melebihi 10 tahun atau 15 tahun ke atas).

Sumber